Perlukah Akta Sabotaj Ekonomi? - Utusan Malaysia

Perlukah Akta Sabotaj Ekonomi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG sahabat baru-baru ini bertanya apakah kita perlu wujudkan satu undang-undang khas mengenai sabotaj ekonomi pada masa ini? Bila saya tanya kembali sahabat saya itu kenapa dia berminat sangat isu ini, beliau berkata apakah kita masih miskin undang-undang sehinggakan setiap kali ada isu baharu timbul, tindak balas kita selalunya:” Perlu gubal satu undang-undang baharu.”

Saya jangka soalan sahabat ini ada kaitan dengan kenyataan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sedikit masa lalu yang menggesa kerajaan menggubal Akta Sabotaj Ekonomi (ASE) untuk mengekang tindakan pihak-pihak tertentu yang dilihat sebagai menggagalkan dasar negara ini. Mengikut MTEM, satu kertas cadangan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Pada 6 September 2018 lalu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr. Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan Dewan Negara bahawa kerajaan sedang menjalankan perbincangan dengan beberapa pihak mengenai cadangan menggubal ASE bertujuan mengekang salah laku menjual kontrak dan permit import (AP).

Mohd Radzi menjelaskan bahawa cadangan itu telah dibentangkan oleh Abu Kassim dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018, yang berlangsung pada 1 September 2018.

Seterusnya pada 30 Oktober lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan kerajaan mengalu-alukan cadangan penggubalan ASE itu. Mengikutnya lagi, kerajaan menganggap salah laku menjual kontrak dan permit import sebagai satu sabotaj kepada ekonomi negara dan wajar dikenakan hukuman yang setimpal.

Pada 15 November, sewaktu berucap dalam satu persidangan di Johor Bahru, Abu Kassim ada menegaskan satu undang-undang baharu perlu digubal untuk membanteras budaya ‘Ali Baba’, iaitu amalan memberi rasuah dalam proses mendapatkan tender kerajaan. Beliau berharap akta baharu dapat dibentangkan di Parlimen pada April 2019 depan. Sementara itu, GIACC sedang mengkaji kemungkinan meminda seksyen 20 Akta SPRM 2009 (Akta 694), tambahnya lagi.

Bagaimanakah negara-negara asing menangani jenayah sabotaj ekonomi di negara mereka?

Kira-kira 30 tahun lalu, kerajaan Tanzania mengalami situasi buruk apabila ekonomi negara berkenaan merosot disebabkan kegiatan peniaga menyorok barang, wujudnya pasaran gelap dan penyangak pertukaran luar. Kerajaan mendapati undang-undang sedia ada tidak mampu membanteras jenayah ini.

Akhirnya masalah ini dapat ditangani apabila pada 25 Mac 1983 selepas satu undang-undang baharu bernama Akta Sabotaj Ekonomi (Peruntukan Khas) 1983 dikuatkuasakan. Akta ini membolehkan kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pensabotaj ekonomi.

Pada satu masa dulu, kerajaan Afrika Selatan berdepan dengan ‘protes lebuh raya’ oleh pihak-pihak tertentu. Pihak-pihak ini telah menghalang orang awam menggunakan beberapa lebuh raya di negara itu. Menurut Menteri Komunikasi negara itu, Nomvula Mokonyane, tindakan menghalang lalu lalang atau menutup lebuh raya merupakan satu sabotaj ekonomi kerana lebuh raya merupakan sebahagian infrastruktur pengangkutan negara yang penting.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya mengambil tindakan di bawah undang-undang yang sedia ada dan tidak merasakan perlu menggubal satu undang-undang khas mengenai sabotaj ekonomi negara.

Kerajaan Filipina juga pernah berdepan dengan masalah besar yang menjejaskan ekonomi negara itu. Aktiviti penyeludupan gula, jagung, daging khinzir, ayam, itik, bawang, sayuran, ikan dan buah-buahan telah menjejaskan hasil kutipan Biro Kastam Negara. Perbuatan jenayah penyeludupan ini dianggap oleh kerajaan Filipina sebagai satu sabotaj ekonomi.

Sebagai tindak balas, kerajaan meluluskan satu undang-undang baharu pada 23 Mei 2016 lalu, dikenali dengan nama Republic Act 10845. Di bawah akta baharu ini, jenayah penyeludupan hasil pertanian secara besar-besaran dianggap sebagai satu sabotaj ekonomi.

Kesalahan ‘sabotaj ekonomi’ ditakrif dalam akta baharu itu adalah seperti berikut – any act or activity which undermines, weakens or renders into disrepute the economic system or viability of the country or tends to bring out such effects and shall include, among others, price manipulation to the prejudice of the public especially in the sale of basic necessities and prime commodities (ringkasnya apa jua aktiviti yang menjejaskan atau memudaratkan sistem ekonomi negara adalah sabotaj ekonomi).

Di bawah akta baharu ini adalah menjadi kesalahan bagi seorang itu menggunakan permit import palsu atau dokumen perkapalan palsu atau menjual, meminjamkan, memajak atau membenarkan permit import syarikat, NGO, persatuan atau koperasi atau firma perseorangan untuk digunakan oleh orang lain (ali babakan permit).

Sebagai bukti betapa seriusnya kerajaan Filipina mahu membanteras kegiatan haram ini, hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah adalah penjara sepanjang hayat dan denda dua kali ganda nilai produk yang diseludup atau cukai yang boleh dikenakan.

Mengikut portal https://www.philstar.com, sewaktu negara itu diperintah oleh Ferdinand Marcos dulu, Filipina juga pernah memperkenalkan undang-undang jenayah sabotaj ekonomi negara, yang pada masa itu adalah kesalahan menggunakan dokumen kerajaan palsu, jenayah simpan sorok (hoarding), penipuan (swindling) dan pelantikan secara haram (illegal recruitment).

Liberia merupakan satu-satunya negara asing yang ada peruntukan khusus mengenai sabotaj ekonomi dalam undang-undang jenayahnya. Kanun Keseksaan Liberia (Liberia Penal Code) memuatkan peruntukan khusus mengenai Economic Sabotage dalam Subchapter F, iaitu seksyen 15.80 sehingga 15.87, yang menghuraikan elemen jenayah seperti penipuan yang menjejaskan hasil negara dan salah guna wang atau harta negara.

Kajian saya seperti diringkaskan di atas menunjukkan bahawa ada negara seperti Tanzania dan Filipina merasakan perlu satu akta baharu mengenai sabotaj ekonomi diwujudkan untuk membanteras jenayah ‘sabotaj ekonomi’ ini. Ada negara seperti Liberia yang sejak awal lagi ada peruntukan sedemikian itu dalam Kanun Keseksaannya. Dan akhir sekali, ada juga negara seperti Afrika Selatan yang berpendirian undang-undang jenayah negara yang sedia ada sudah memadai untuk menangani jenayah ini.

Kita tunggu dan lihat perkembangan perkara ini selanjutnya. Pada hemat saya, elok sekali draf awal ASE ini dimuat naik ke ruang siber agar orang awam yang berminat dapat memberikan pandangan mereka. Ini adalah public engagement yang pasti akan disambut baik oleh semua.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), 
Skudai, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN