PANEL Petugas Khas Majlis Perundingan Melayu (MPM) Bagi Belanjawan 2019 melihat ada dua langkah jangka pendek yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan dan ia perlu dilaksanakan segera.
Pertama berkaitan dengan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan kedua, pemerkasaan agenda ekonomi hawa (wanita).
Bagi langkah pertama, MPM menumpukan cadangan kepada usaha menambah bilangan PKS yang mampu bayar cukai korporat.
MPM menyambut baik cadangan Kementerian Kewangan (MOF) dalam Perenggan 155 hingga 162, Belanjawan 2019, berkaitan usaha Memperkasakan PKS. Pun begitu, MPM melihat kerapkali dana yang diperuntukkan bagi pembangunan PKS adalah tidak bersasar.
Ia merupakan peruntukan pukal yang rambang, menyukarkan perlaksanaan kerana pihak institusi kewangan tidak dapat menumpukan kepada sesuatu bidang bisnes yang terancang dan melengkapi rantaian nilainya. Kerapkali sesuatu permohonan dana itu merupakan satu permohonan yang bersifat stand alone.
MPM lebih cenderung menyarankan kepada kerajaan untuk segera membangunkan ekosistem kewangan kondusif bagi sesuatu sektor ekonomi yang mempunyai rantaian nilai lengkap dan saling menjamin satu sama lain.
Sistem kewangan begini mampu melonjakkan PKS menjadi progresif dan berdaya saing yang akhirnya mampu menjadi pembayar cukai korporat produktif, iaitu nilai cukai korporat substantif.
Oleh itu, usaha MPM bersama SME Corp melaksanakan Program LGC Ascend 800 sejak 2013 hendaklah digerakkan semula dan diberi keutamaan oleh MOF dalam Belanjawan 2019.
MPM penuh yakin dengan kepimpinan di Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) untuk menerajui usaha melahirkan ratusan mid tier corporations berdaya maju dalam kalangan PKS yang dimaksudkan itu.
Mengenai Strategi Memperkukuhkan Peranan Wanita Dalam Pasaran Tenaga Kerja (Perenggan 195-197), cadangan Belanjawan 2019 ini dilihat hambar dalam menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan Sustainable Development Goals (SDG), terutama agenda kelima mengenai Pemerkasaan Peranan Wanita.
Jika dirujuk kepada laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) (2015) mengenai peratus firma bisnes dimiliki wanita dan peratus agihan pengurusan wanita dalam bisnes dan perkhidmatan kerajaan, negara kita masih jauh ketinggalan.
Statistik yang ILO perolehi bagi Malaysia ialah tahun terkini 2007, pada paras 13.1 peratus (%) pemilikan dan 21.5% jawatan pengurusan bagi 2012. Maknanya negara kita masih jauh ke belakang dalam usaha pemerkasaan agenda wanita.
Bayangkan, dalam kita begitu jauh ketinggalan dalam melaksanakan agenda ini, dalam Belanjawan 2019, apa yang MOF termampu fikirkan mengenai Ekonomi Kaum Hawa (Women Economies) hanyalah mengenai pembangunan dan pengurusan tadika (Perenggan 195). Itu pun dengan peruntukan yang amat tidak signifikan.
POTENSI
Kerajaan sepatutnya lebih inovatif dalam penerokaan dan pembangunan ekonomi wanita. Bukan itu saja, dengan peruntukan yang teramat kecil, jelas MOF beranggapan model pembangunan dan pengurusan tadika adalah satu cabang industri kecil (cottage industry) yang ketinggalan.
MOF silap, ia adalah bidang bisnes berpotensi untuk diklasifikasikan sebagai new economy. Tadika bukan lagi satu backyard industry atau cottage industry sebagai pusat jagaan bayi dan kanak-kanak semata-mata.
Ia adalah satu new economy yang amat penting kepada pembangunan insan, komuniti dan negara. Tidak wajarlah peruntukan yang begitu kecil diagihkan kepada pembangunan satu new economy yang amat penting ini.
Begitu juga kemampuan wanita menerajui pembangunan dan pengurusan Pusat Bersepadu Warga Emas (PBWE). Konsep lama atas nama Pusat Jagaan Orang Tua (Old Folks Home) sudah ketinggalan.
Di negara-negara Nordics misalnya, pusat sebegini sudah menjadi satu pusat moden dan pusat sumber yang penting dan popular. Jika di negara-negara Nordics, model PBWE ini lengkap dengan kemudahan perubatan, fisioterapi dan rekreasi moden.
Malah di sesetengah tempat ia merupakan pusat sumber kerana ramai warga emas memilih berada di situ sedangkan mereka ini adalah golongan profesional yang masih aktif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Sewajarnya MOF lebih bijaksana merancang sesuatu yang lebih inovatif dan kreatif.
Sehubungan itu, MPM mencadangkan MOF merujuk dahulu kepada sasaran PBB dalam memperkasakan agenda wanita. Sasaran 5.5 dalam Kesaksamaan Gender dalam PBB menyatakan: ‘Kerajaan memastikan penyertaan penuh, berkesan dan kesaksamaan peluang dalam kepimpinan di semua lapisan pembuat keputusan politik, ekonomi dan awam’.
Sasaran 5.a dalam dokumen yang sama pula menyatakan: ‘Kerajaan melaksanakan reformasi bagi memberi wanita hak saksama kepada sumber ekonomi, pemilikan dan penguasaan ekonomi’.
Penulis ialah Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita).










