PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah lama berlalu dan Malaysia kini sedia menuju masa depan dengan pendekatan yang sedikit berbeza daripada yang digambarkan oleh pemerintahan sebelum ini.
Namun di sebalik perancangan yang galak dicanangkan oleh kerajaan baharu, rata-rata rakyat dilihat masih lagi hanyut dengan rasa gembira bagi pihak yang menang dan rasa kecewa bagi yang tewas. Tidak kurang juga yang sibuk menjadi peguam dan hakim dalam mahkamah media sosial.
Antara isu yang turut hangat diperkatakan adalah isu kaum dan juga kesamarataan antara kaum yang sering dipolitikkan oleh pihak yang berkepentingan. Di sebalik segala isu ini, satu perkara penting yang kurang menjadi tumpuan rakyat terutama kaum bumiputera adalah usaha memperkukuhkan ekonomi.
Apalah gunanya jika bangsa hebat di pentas pidato serta laungan semangat, namun masih jauh terkebelakang dalam menerajui ekonomi negara sendiri. Apakah dengan menjadi juara di mahkamah media sosial boleh menjanjikan kejayaan terhadap perjuangan yang sering dilaung-laungkan?
Ketika bangsa lain sibuk mengatur strategi dan taktik untuk menjadi peneraju dalam segenap bidang, kaum bumiputera masih lagi enak dibuai cerita-cerita kejayaan nenek moyang dalam usaha memerdekakan negara ini. Sebagai penyambung generasi, kaum bumiputera khususnya harus menyambung kejayaan nenek moyang dengan menjadi bangsa yang menerajui bidang ekonomi negara ini seterusnya berkuasa untuk mencorak masa depan negara mengikut acuan sendiri.
Kaum bumiputera boleh mengambil iktibar daripada kisah kejayaan jatuh bangun empayar kerajaan lain agar menjadi pengajaran untuk mencorak kelangsungan bangsa untuk berjaya.
Antaranya kisah kejatuhan Empayar Uthmaniah dari abad ke-16 hingga abad ke-18. Salah satu faktornya adalah disebabkan kelemahan ekonomi. Semuanya berpunca daripada kelemahan pemerintah dan peperangan yang banyak sehingga mengakibatkan perbelanjaan melebihi pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada kadar hutang yang tinggi.
Ini membuka peluang kepada campur tangan luar yang kemudiannya menambahkan lagi kemerosotan ekonomi negara Islam dengan paksaan untuk menerima dasar-dasar yang berat sebelah. Kisah ini menjadi bukti betapa pentingnya kekuatan ekonomi untuk mencorak masa depan sesebuah kerajaan mengikut acuan sendiri.
Manakala dalam konteks negara ini, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali September lalu, dari segi purata pendapatan isi rumah bumiputera pada 2016, angkanya masih rendah iaitu RM6,267 berbanding RM8,213 (bukan bumiputera).
Begitu juga dengan tahap pemilikan kekayaan iaitu aset kewangan dan hartanah kaum bumiputera yang berada paling rendah berbanding kaum-kaum lain.
Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar kemiskinan kaum bumiputera juga masih berada pada kadar tertinggi berbanding kaum Cina dan India. Pada tahun 2012, kadar kemiskinan kaum bumiputera berada pada kadar 2.2 peratus berbanding kaum India 1.8 peratus dan kaum Cina 0.3 peratus.
Statistik ini juga menunjukkan bahawa dari segi ekonomi, kaum bumiputera masih lagi terkebelakang berbanding kaum lain.
Melihat kepada angka-angka ini, kaum bumiputera perlu segera bangkit segera dan berjuang untuk memperkukuhkan penguasaan dalam bidang ekonomi. Kaum bumiputera seharusnya menjadi pelopor dalam bidang-bidang ekonomi utama negara antaranya sektor hartanah, sektor kewangan, sektor industri dan sektor-sektor lain. Seterusnya bakal merealisasikan impian negara berbilang kaum untuk mencorak masa depan negara mengikut acuan sendiri.
Seiring dengan usaha-usaha dari pihak kerajaan dalam agenda memperkasa bumiputera melalui beberapa program khusus, kaum bumiputera sendiri perlu lebih proaktif dalam mengintai peluang dan kelebihan yang ada agar kekuatan ekonomi mereka mampu ditingkatkan.
Antara tindakan-tindakan kecil lain yang boleh dibuat adalah dengan menyokong dengan membeli produk-produk dari industri tempatan khususnya produk bumiputera.
Kontraktor bumiputera pula, harus mengelak daripada untung atas angin dengan memberikan kerja-kerja yang diterima daripada kerajaan kepada pihak ketiga dalam kalangan bukan bumiputera. Sebaliknya mereka harus bersedia menjadi kontraktor yang terbaik dan sedia berdaya saing dengan sesiapa pun.
PENULIS berkhidmat di Pejabat Bendahari UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.










