MELIHAT susuk tubuhnya tidak menyangka usianya bakal menginjak ke angka 73 tahun bulan depan. Namun, beliau masih aktif dan bergerak cerdas. Jika individu lain, waktu-waktu bersisa ini semestinya diisi dengan menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.
Situasi tersebut berbeza dengan Tan Sri Lee Lam Thye. Walaupun telah hampir 28 tahun meletak titik noktah dalam dunia politik, namun masih bergiat cergas dalam aktiviti kemasyarakatan dan sanggup turun padang.
Mana tidaknya, aktivis masyarakat itu sanggup merantau ke pedalaman di Sarawak semata-mata untuk mengagihkan bantuan kepada anak-anak yang kurang berkemampuan di kawasan tersebut.
Bukan itu sahaja, anak-anak miskin jauh di pedalaman Kelantan turut disantuni. Kegigihan beliau mendekati masyarakat perlu disanjung kerana belum tentu individu lain yang sanggup membuat kerja-kerja kebajikan seumpama itu jika tidak lagi berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Mengimbau kembali di zaman kanak-kanaknya, Lam Thye berkata, beliau dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, bapanya adalah tukang besi di pekan Ipoh, Perak manakala ibunya hanya bekerja mencuci kain di kedai dobi.
Keperitan yang dilalui di zaman muda itu membuatkan beliau bertekad untuk mengubah kehidupannya dan tidak mahu generasi muda hari ini merasai keperitan hidup seperti yang pernah dilaluinya.
Tegas beliau, tiada istilah rehat atau bersara meskipun tidak lagi berkecimpung dalam dunia politik. Baginya kerja-kerja menjaga kebajikan rakyat lebih utama selain memberi fokus kepada pelbagai isu yang melingkari kehidupan semua rakyat di negara ini.
“Biarpun tidak lagi aktif sebagai ahli politik, namun hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan tetap dihormati, cuma kini saya lebih mengutarakan hal-hal kebajikan,” kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) itu kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sepanjang mengemudi entiti yang memperjuangkan keselamatan dan kesihatan pekerja itu sejak 1994, banyak pembaharuan yang dilakukan dan berharap institut itu dapat memberi kebaikan kepada semua pekerja di negara ini. Malah, pelbagai aspek keselamatan pekerja turut dititik beratkan sehingga agensi tersebut menjadi lebih terkenal.
Kesungguhannya dalam bidang tersebut telah membolehkan beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2005 daripada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia.
Lam Thye juga pernah menerima anugerah Toastmasters International Communication and Leadership daripada TI District 51 atas dedikasi dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, pembangunan manusia, kesihatan, keselamatan, kemasyarakatan serta sosial dan beberapa anugerah lain.
Keikhlasan beliau memperjuangkan hal-hal masyarakat termasuklah hal-hal berkaitan keselamatan pekerja serta pencegahan jenayah tidak harus dipandang mudah kerana tugas tersebut bukanlah senang sebaliknya memerlukan keikhlasan dan kecekalan hati.
Seperkara lagi katanya, telah menjadi rutin hariannya untuk membaca akhbar bagi mengetahui perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara dan dari situlah muncul idea-idea untuk membantu atau menghasilkan sesuatu yang baharu.
Menurut Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) itu, hakikatnya, masyarakat kini sedang meniti zaman dengan penuh mencabar yang mana golongan muda terutamanya terdedah kepada pelbagai gejala sosial. Sekiranya masalah itu tidak ditangani dengan segera dan bijaksana, negara dibimbangi akan kehilangan pelapis generasi kepemimpinan pada masa akan datang.
Lam Thye berkata, setiap tugas yang dilakukannya semata-mata mahu memastikan generasi akan datang hidup dengan lebih selesa dan bukannya anugerah yang ingin dikejar. Kesungguhan insan bernama Lee Lam Thye ini sukar dicari ganti yang sanggup ‘bekerja’ siang dan malam semata-mata mencari kepuasan sendiri demi membantu orang lain tanpa mengira agama dan kaum.










