Peningkatan trend bersara awal anggota dan pegawai PDRM membimbangkan - Utusan Malaysia

Peningkatan trend bersara awal anggota dan pegawai PDRM membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Peningkatan trend bersara awal dalam kalangan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat semakin membimbangkan dan satu kajian berhubung perkara tersebut akan dijalankan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat Oktober tahun ini sahaja seramai 2,446 telah memilih untuk bersara awal berikutan beberapa faktor dan ia dilihat sebagai sesuatu yang merugikan pada PDRM terutamanya kemahiran anggota berkenaan yang mampu memberi nilai tambah pada pasukan.

“Antara faktor yang dilihat menjadi penyumbang kepada pilihan untuk bersara awal adalah masalah kesihatan, masalah keluarga, tekanan kerja yang tinggi serta isu-isu logistik.

Selain bersara awal hampir 2,500 sehingga 3,000 anggota bersara wajib setelah mencecah umur 60 tahun pada setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Upacara Perbarisan dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Asas Kadet Inspektor dan Kadet Sarjan Siri 1/2018 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dekat sini.

Menurut Mohamad Fuzi, sehubungan itu, pihaknya menyasarkan pengambilan anggota baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

“Bagi tahun ini sahaja, PDRM menyasarkan pengambilan rekrut baharu seramai 7,000 orang.

“Kami berharap masalah serta trend bersara awal ini dapat diatasi dan kerajaan dapat memenuhi hasrat PDRM bagi mendapatkan rekrut baharu mengikut keperluan agar tidak menjejaskan khidmat kepada komuniti,” ujarnya.

Dalam pada itu, seramai 248 orang Kadet Inspektor dan 146 orang Kadet Sarjan telah berjaya menamatkan latihan sempena perbarisan dan tamat kursus asas kadet.

Kesemua Kadet Inspektor serta Kadet Sarjan yang berjaya menyempurnakan latihan kepolisan pada hari ini telah mengharungi perit getir latihan selama sembilan bulan bermula daripada Fabruari lalu.

Dalam upacara perbarisan tersebut, Kadet Inspektor Bernadette Thien Mui Ling dan Kadet Sarjan Norashikin Zamri telah dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan latihan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN