KUALA LUMPUR 27 Nov. – Seorang peniaga kedai kopi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan secara tidak jujur menolong menyembunyi dan mengalihkan wang berjumlah RM40,000 milik seorang lelaki ke dalam akaun bank milik syarikatnya, Mei Lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Choo Cheng Jin, 33, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Chew Jiar Li, 30, seorang kakitangan pentadbiran di sebuah syarikat swasta iaitu wang berjumlah RM30,000 dan RM10,000 ke dalam akaun Maybank milik syarikat tertuduh.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Megan Salak, Taman Desa Petaling, Cheras pada pukul 11.30 pagi, 30 Mei lalu dan di Maybank cawangan Jalan Kuchai lama, Brickfields di sini kira-kira pukul 12.26 tengah hari pada hari yang sama.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nom Phot Prackdit tidak mencadangkan sebarang jaminan sementara Muhammad yang tidak diwakili peguam merayu jaminan diberikan atas alasan abangnya hadir untuk menjadi penjamin.
Majistret Siti Radziah Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Disember ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE










