KUALA LUMPUR – Calon Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) yang baharu sudah dikenal pasti dan akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Katanya, calon berkenaan bukan daripada kalangan ahli politik tetapi merupakan seorang profesional yang telah lama berkecimpung dalam sektor perbankan antarabangsa.
Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu penilaian daripada Bank Negara Malaysia terhadap calon itu.
“Calon sudah ada. Walaupun kuasa pelantikan (terletak) di kementerian tapi kita mengambil pendekatan di mana kita menekankan profesionalisme. Perlu ikut prosedur daripada Bank Negara, kita tak mahu ‘jump the gun'”, katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penyingkiran Tan Sri Shukry Salleh daripada jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah bank berkenaan pada Isnin perlu supaya tidak menjejaskan imej dan agenda baharu kementerian itu.
Perkhidmatan Shukry ditamatkan serta-merta selepas pembongkaran Ketua Auditor Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad pada 25 November yang mendedahkan penglibatan Shukry dalam pengubahan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Berhad (1MDB). – Bernama










