JOHOR BAHRU 19 Nov. – Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Tebrau hari ini mengecam tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung kenyataan dibuatnya dalam satu temu bual di luar negara yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat ke atas bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu di Balai Polis Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram, di sini tengah hari tadi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tebrau, Fauzi Faizal berkata, walaupun video berkenaan merupakan video lama, namun sehingga kini Waytha Moorthy tidak pernah menarik balik kenyataan itu.
“Kenyataan dibuat seperti dalam video berkenaan bukan sahaja palsu, tetapi juga merupakan satu fitnah seolah-olah berlaku pencabulan hak asasi kronik dalam negara ini.
“Dia menuduh kerajaan ketika itu menindas kaum minoriti khususnya masyarakat India, perkara itu tidak benar,” katanya.
Dalam video berdurasi 2 minit 39 saat itu, Waytha Moorthy mendakwa Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang besar dengan mendiskriminasi hak kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama. – UTUSAN ONLINE











