KUALA LUMPUR 26 Nov. – Fungsi bonggol jalan amat besar untuk mengawal dan memperlahankan had laju kenderaan di sebuah lokasi.
Sehubungan itu ia tidak boleh dibina sesuka hati dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kamarol Hisham Talib, binaan bonggol jalan bersifat teknikal, jadi ukuran tinggi, rendah atau lebar dan sebagainya mestilah dipatuhi demi mencapai tujuan pembinaannya.
Menurutnya, ia tidak boleh sewenang-wenangnya dibina oleh orang ramai sebaliknya perlu mengemukakan permohonan kepada PBT melalui persatuan penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan sebagainya.
“Beberapa kriteria dan syarat akan dipertimbangkan bagi permohonan pembinaan bonggol jalan.
Antaranya, jalan pintas yang sibuk, berhampiran kawasan tumpuan orang awam seperti masjid, surau atau rumah ibadat, dewan dan sekolah.
“Turut diberi perhatian berdekatan dengan lampu jalan sedia ada dan jarak di antara bonggol sedia ada yang bersesuaian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Kamarol Hisham, kajian trafik juga akan dilaksanakan bagi mengenalpasti sama ada laluan tersebut sesuai bagi pemasangan bonggol atau sebaliknya.
“Selepas permohonan berjaya, pihak DBKL akan mengadakan lawatan bersama pemohon di kawasan cadangan dan pihak kontraktor akan menjalankan kerja-kerja pembinaan sekira nya syarat-syarat dipatuhi,” ujarnya.
Katanya, pembinaan bonggol akan mengambil masa selama dua minggu melibatkan pemasangan papan tanda bonggol, penandaan jalan garisan kuning dan garisan kuning di atas bonggol.
“Sebelum kerja-kerja pembinaan bonggol dilaksanakan, notis amaran atau papan tanda akan dipasang terlebih dahulu sebagai langkah keselamatan, “ ujarnya.
“Kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh PBT itu boleh menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain DBKL akan memusnahkan bonggol yang dibina pihak tertentu,” katanya.










