KUALA LUMPUR 27 Nov. – Pemandu teksi seluruh negara diminta untuk memberikan ruang serta peluang kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyelesaikan polemik berkenaan industri teksi dengan syarikat e-hailing.
Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan ahli Parlimen Seremban itu semalam, beliau yakin Anthony ikhlas dan mempunyai pelan untuk menyelesaikan isu itu.
Malah, Shamsubahrin turut meminta supaya para pemandu teksi di seluruh negara mengubah sikap agar perkhidmatan itu kembali mendapat tempat di hati orang ramai.
“Saya menyeru semua pemandu teksi, apa yang kita minta kerajaan boleh beri, tapi kita pun kena ubah sikap kita.
“Janganlah bila penumpang tahan nak pergi dekat, cakap tak boleh ambil. Tak pakai meter, kata meter rosak. Pakaian nak kena kemas, bau badan kena jaga, jangan tinggalkan tuala atau baju semalam dalam kereta sampai berbau,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Central, di sini hari ini.
Menurut Shamsubahrin, Kementerian Pengangkutan telah memberi jaminan mulai tahun hadapan, pemandu e-hailing perlu mendaftar lesen pengangkutan awam (PSV) sekali gus menjadikan persaingannya dengan teksi lebih adil. – UTUSAN ONLINE










