KUALA LUMPUR – Tindakan dua pelajar sekolah menengah yang menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘Superman’ di atas jalan raya membawa padah apabila mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar ibu negara di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.30 malam itu, remaja berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan di persimpangan lampu isyarat Greenwood dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua individu itu bersekolah di sekitar Wangsa Maju dan Selayang.
“Mereka ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ala ‘Superman’. Hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja itu tidak mempunyai lesen memandu.
“Polis turut menahan dua lagi individu berusia 18 tahun dan 19 tahun masing-masing bekerja sebagai peniaga dan pelayan restoran. Mereka ditahan atas kesalahan sama iaitu menunggang motosikal secara berbahaya,” katanya di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











