KUALA LUMPUR 26 Nov. – Penjualan dana asing di Bursa Malaysia masih berterusan bagi tempoh tiga minggu berturut-turut berikutan penurunan ketara dalam harga minyak serta kebimbangan berlakunya lebihan penawaran.
Menurut MIDF Research, sebanyak RM52.3 juta dana asing daripada ekuiti tempatan telah dijual bagi tempoh 19 November sehingga 23 November.
Katanya, Bursa Malaysia menunjukkan aliran positif pada setiap hari dagangan kecuali Rabu apabila dana antarabangsa menarik balik RM151.7 juta daripada ekuiti tempatan.
“Penurunan ini diikuti dengan kejatuhan harga minyak mentah Brent semalaman sebanyak 6.4 peratus susulan peningkatan kebimbangan terhadap lebihan penawaran.
“Aliran keluar secara besar-besaran itu turut dirasai oleh negara-negara serantau seperti Korea Selatan dan Thailand,” katanya dalam Laporan Aliran Mingguan MIDF di sini hari ini.
Tambah MIDF, November menjadi antara bulan yang mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi dengan jumlah sebanyak RM474.1 juta setakat Jumaat lalu.
Katanya, setakat ini pelabur asing telah menjual sebanyak RM10.42 bilion daripada ekuiti tempatan berbanding RM10.33 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu.
“Bagaimanapun, Malaysia masih menjadi negara kedua terendah yang mencatat aliran keluar asing berbanding empat pasaran ASEAN yang dipantau,” ujarnya.










