SEREMBAN – Seorang pekerja lelaki kedai serbaneka 24 jam di Jalan Templer di sini cedera akibat ditetak dengan parang dalam kejadian samun awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pekerja tersebut ditetak oleh seorang daripada dua lelaki bersenjatakan parang panjang yang meluru masuk dan menyamun premis tersebut.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, polis menerima laporan dua kejadian samun kedai serbaneka 24 jam di Seremban pada hari yang sama.
“Saya mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung dua kejadian samun yang berlaku pada 16 November di kedai serbaneka di Seremban.
“Dalam salah satu kejadian itu, salah seorang daripada dua pekerja luka di kepala dan telah menerima rawatan pesakit luar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian samun bersenjatakan parang panjang di kedai t di Jalan Templer itu tular di media sosial sejak semalam.
Sementara itu, Kosmo! difahamkan dua lagi kedai serbaneka 24 jam di Mantin turut disamun pada hari sama.
Pekerja premis terbabit mempercayai suspek adalah penjenayah sama yang melakukan samun keatas dua kedai serbaneka di Seremban pada hari tersebut.
“Mereka mahu menyamun tempat kerja saya, tetapi rakan saya yang bekerja hari itu sempat lari dan menguncikan diri dalam stor.
“Mereka yang datang dengan sebuah kereta kemudian masuk ke kedai sebelah,” kata seorang pekerja kedai serbaneka di Mantin ketika ditemui hari ini.
Pekerja di sebuah lagi kedai yang dirompak pula berkata, dua lelaki itu meluru masuk sebelum menendang seorang pekerja lelaki dan melarikan wang tunai RM800. – K! ONLINE










