Pekerja kedai 24 jam cedera dilibas penyamun bersenjata parang - Utusan Malaysia

Pekerja kedai 24 jam cedera dilibas penyamun bersenjata parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 18 Nov. – Seorang pekerja lelaki kedai serbaneka 24 jam di Jalan Templer di sini cedera akibat ditetak dengan parang dalam kejadian samun kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pekerja tersebut ditetak oleh seorang daripada dua lelaki bersenjatakan parang panjang yang meluru masuk dan menyamun premis berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, polis menerima laporan dua kejadian samun kedai serbaneka 24 jam di daerah ini pada hari yang sama.

“Saya mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung dua kejadian samun yang berlaku pada 16 November di Seremban.

“Dalam salah satu kejadian itu, salah seorang daripada dua pekerja luka di kepala dan telah menerima rawatan pesakit luar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian samun bersenjatakan parang panjang di Jalan Templer itu tular dalam media sosial sejak semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN