KUALA LUMPUR – Peruntukan pembangunan kerajaan pusat akan diagih secara lebih baik dengan keutamaan diberikan kepada negeri-negeri kurang membangun, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin.
Beliau berkata, langkah itu bagi mengurangkan jurang ekonomi, pembangunan dan kemudahan asas di negara ini.
Katanya, langkah itu juga ke arah pembangunan wilayah yang seimbang, memastikan pengagihan manfaat sosioekonomi serta pertumbuhan saksama demi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Di bawah bidang keutamaan bagi memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah dan memperkemas perancangan pembangunan negeri, beberapa inisiatif akan dilaksanakan antaranya menyedia rangka kerja pembangunan wilayah bersepadu, tumpuan kepada aktiviti kluster terpilih, rangkaian jalan raya serta bekalan air,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohd Radzi berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) berkenaan langkah-langkah kerajaan bagi mengurangkan jurang ekonomi negeri-negeri pantai barat dengan negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu. – Bernama










