KUALA LUMPUR 26 Nov.– Tiada siapa menyangka individu kerdil yang sering dipandang rendah segelintir masyarakat sebenarnya mampu meraih pendapatan antara RM4,000 sehingga RM8,000 sehari.
Bagi usahawan kebab, Ikhsan Sirat atau dikenali sebagai Wak Ikhsan, 57, berkata, status sebagai orang kurang upaya (OKU) sebaliknya menjadi azam serta perangsang untuknya berjaya dalam dunia perniagaan selepas menceburi bidang tersebut selama 30 tahun.
Malah, dia yang berasal dari Pontian, Johor itu mengetepikan perasaan rendah diri dan tidak mengenal erti putus asa sewaktu pertama kali berniaga burger di pasar malam di awal pembabitan dalam bidang itu.
“Jangan cepat mengalah, rajin dan mesti ramah dengan pelanggan sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang sudah rapat panggil kedai saya sebagai burger pak cik pendek sewaktu berniaga di pasar malam. Selain itu, rasa dan kualiti perlu dijaga.
“Dahulu pun jika meniaga burger, saya mampu menjual sebanyak kira-kira 200 biji burger. Saya berharap perniagaan itu akan terus berkembang selepas ini sehingga menjadi francais,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis usahawan OKU bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 dekat sini, hari ini.
Ikhsan antara 90 usahawan OKU yang menerima bantuan FAMA kini mempunyai lima buah ‘food truck’ turut menjual rempah dan daging kebab serta peralatan hasil bantuan daripada kepada sesiapa yang mahu memulakan perniagaan.
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Pengerusi FAMA, Ishak Ismail.
Dalam pada itu, pengusaha keropok lekor, Wan Norazizah Majid, 40 berkata, dia terpaksa berdepan pelbagai cabaran ketika mula-mula menceburi dalam bidang perniagaan sebagai OKU.
“Sakit saraf yang saya alami membataskan pergerakan. Kadang-kala ada bahagian tertentu yang kejang. Ini bukan sahaja menyakitkan tetapi memberi gangguan emosi.
“Walau bagaimanapun saya tekad untuk terus maju dan berusaha dengan lebih gigih lagi. Harapan saya semoga keropok hasil buatan saya dapat dipasarkan ke luar negara nanti,” ujarnya.










