Isu pemilikan rumah kekal menjadi topik hangat, lebih-lebih lagi susulan cadangan skim pembiayaan antara rakan setara atau Peer-to-Peer (P2P) bagi membantu meningkatkan pemilikan kediaman dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini. Malah ada yang keliru di antara P2P dan Skim FundMyHome. Ia merupakan dua perkara berbeza.
P2P yang akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) di bawah rangka kerja pendanaan ekuiti ramai (crowdfunding), akan menyediakan pilihan pembiayaan alternatif kepada pembeli rumah kali pertama.
P2P membolehkan orang ramai membeli hartanah terpilih dengan bayaran 20 peratus nilai hartanah manakala baki 80 peratus akan dibiayai oleh pelabur.
Dalam analogi mudah, Ah Chong boleh memiliki dan mendiami rumah yang bernilai RM250,000 dengan hanya membayar RM50,000 tanpa mengambil pinjaman perumahan.
Persoalannya, melihat statistik yang menunjukkan 90 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi, mampukah mereka membayar wang deposit sebanyak RM50,000 itu?
Dalam hal ini, adakah pembiayaan merupakan masalah sebenar atau harga rumah yang semakin mahal punca utama? Siapakah yang kerajaan ingin bantu sebenarnya, rakyat atau pemaju?
Mana-mana pihak tidak sepatutnya mengambil kesempatan menggunakan pembiayaan untuk menjadikan rumah kelihatan murah yang mana realitinya tidak indah.
Ini kerana, berdasarkan kajian Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), golongan B40 yang berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan secara jelasnya mungkin tidak dapat membeli rumah.
Masalah utama sekarang, pendapatan isi rumah tidak meningkat setanding dengan kenaikan harga hartanah, sehingga menyebabkan ketidakmampuan.
Memiliki pandangan yang sama, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) meminta kerajaan mengkaji semula pembiayaan P2P bagi pembelian rumah sebelum melaksanakan mekanisme itu, kerana ia pada asalnya bertujuan untuk pelaburan dan bukan pemilikan hartanah.
KRI berpendapat mekanisme prinsip P2P tidak sesuai untuk pasaran hartanah kerana ia hanya akan mendorong pasaran hartanah melonjak dan meletakkan pemilikan rumah ke dalam ketidaktentuan.
P2P tidak seharusnya dilaksanakan ke atas barangan bernilai tinggi, terutama perumahan dan pembuat dasar perlu memahami bahawa dengan membuat pinjaman kredit lebih mudah akan menyebabkan harga rumah terus meningkat.









