PUTRAJAYA 27 Nov.- Orang ramai termasuk penjawat awam menyerbu Jualan Ekonomi Pengguna yang berlangsung di pekarangan Dewan Serbaguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini untuk membeli barangan keperluan harian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, barangan dapur seperti beras, minyak masak, sos dan kicap merupakan antara dibeli orang ramai yang tidak melepaskan peluang mendapatkannya pada harga berpatutan.
Seorang pekerja swasta, Wan Ahmad Badri Wan Mohamad, 41, program berkenaan bukan sahaja dapat meringankan beban rakyat, tetapi membantu pekerja yang sibuk sepertinya untuk mencari barangan dapur dengan mudah dan murah.
Menurutnya lagi, kebanyakkan barangan dijual adalah jauh lebih murah berbanding di pasaran.
Dalam nada sama, Nor Hazizun Awang, 36, yang merupakan penjawat awam mencadangkan kepada penganjur untuk memperluaskan jualan itu di kawasan lain dan diadakan secara berkala pada masa hadapan.
“Saya sokong penuh usaha seperti ini kerana dapat membantu kami untuk membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan sekali gus dapat meringankan beban ekoran kenaikan kos sara hidup masa kini,” katanya.
Pada masa sama, Pengurus Tunas Manja Group (TMG), Muhammad Haidir Ravi memaklumkan, pihaknya akan menawarkan harga runtuh pada sesi ‘Happy Hour’ dalam hari terakhir Jualan Ekonomi Pengguna pada Khamis ini.
Katanya, mereka bukan sahaja menikmati harga berpatutan, tetapi dapat membeli pelbagai jenis barangan sepanjang jualan itu berlangsung.
Selain TMG, terdapat lima syarikat peruncitan lain yang mengambil bahagian dalam jualan itu yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selama tiga hari bermula hari ini.-UTUSAN ONLINE










