PASIR SALAK 17 Nov. – Orang Melayu sudah hilang sabar apabila pelbagai penghinaan dan hak istimewa kaum itu dipertikaikan dan mahu dihapuskan di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tahap kesabaran orang Melayu sudah sampai kepada hadnya dan tidak boleh bertoleransi lagi ekoran cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Menurutnya, sehubungan itu sudah sampai masanya orang Melayu bangkit menentang terhadap segala penghinaan dan cubaan untuk menghapuskan hak istimewa sebagai kaum Bumiputera.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy membawa agenda ICERD kononnya untuk menghapuskan diskriminasi kaum. Sejak bila kita mendiskriminasi kaum?
“Orang Melayu baik hati, walaupun bukan Melayu pendatang tapi mereka diberikan tempat yang istimewa hinggakan orang Melayu ketinggalan, inikah yang dinamakan diskriminasi? Kita kena gunakan bahasa kesat sekarang ini, kalau kita tak guna bahasa kesat, mereka tak reti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah di sini hari ini.
Tajuddin berkata, sehubungan itu UMNO meminta supaya Waytha Moorthy dipecat daripada parti kerana membuat kenyataan menghina Islam dengan cadangan meratifikasikan ICERD.
Beliau turut mengingatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya tidak diperkudakan oleh DAP dan orang bukan Islam walaupun kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas sokongan kaum tersebut.
“Tun Mahathir baliklah ke pangkal jalan. Jika tetap ada desakan mahu menantandatangani ICERD, kita akan turun dijalanan dan akan menggerakkan tiga juta ahli UMNO dan berjuta-juta ahli Pas, tidak kurang daripada 10 juta orang Melayu sedia turun di jalanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










