KEPALA BATAS 27 Nov. – Pejabat Imigresen Pulau Pinang yang terletak di bangunan warisan di George Town akan diubah suai sebagai Muzium Imigresen tahun hadapan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penubuhan muzium yang pertama seumpamanya di Malaysia itu telah mendapat maklum balas positif daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas serta kerajaan negeri.
Menurutnya, Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi muzium itu kerana di sinilah bermulanya tugas-tugas berkaitan imigresen di negara ini.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri pada awal tahun ini selain perbincangan berkala dengan pihak kerajaan negeri yang dilihat positif dengan cadangan kami.
“Pada masa ini perbincangan lanjut masih dijalankan dan berharap ia dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Imigresen negeri Meor Hezbullah Meor Abdul Malik.
Tambahnya, kerja-kerja ubah suai bangunan itu mengambil sedikit masa kerana ia adalah bangunan warisan dan memerlukan kelulusan banyak pihak selain proses mendapatkan material bersama Jabatan Muzium dan Arkib Negara Malaysia.
“Selepas ini kita akan memohon dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan bangunan pejabat baharu untuk Jabatan Imigresen negeri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










