KUALA LUMPUR 26 Nov. – Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KSKSTMB) dan Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Berhad (KESTMB) perlu mencapai keputusan secara bersama dengan pihak pengurusan Media Prima Berhad bagi menyelesaikan isu pemberhentian kakitangan syarikat tersebut.
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, kerajaan perlu melihat terlebih dahulu langkah yang akan diambil ketiga-tiga pihak berkenaan dalam menyelesaikan isu terbabit.
Katanya, ia termasuk mengambil semula pekerja terbabit kembali bekerja atau perbincangan mengenai pampasan.
“Jika tidak, perkara itu akan dirujuk kepada menteri untuk membuat keputusan sama ada perkara tersebut akan dirujuk kepada mahkamah atau sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
KSKSTMB dan KESTMB dalam satu kenyataan semalam menyelar tindakan pengurusan Media Prima Berhad atas arahan pemberhentian 190 pekerja teknikal Jabatan Kejuruteraan dan Prop.
Pengurusan syarikat itu turut berhasrat melaksanakan skim pemisahan bersama (MSS) secara paksa melibatkan 43 orang dari Jabatan Berita dan Perkhidmatan Pengurusan.










