MIC era pasca PRU-14? - Utusan Malaysia

MIC era pasca PRU-14?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIC yang kini berusia 72 tahun telah mengadakan pemilihan parti pada bulan lalu. Pemilihan itu bertujuan mengisi jawatan-jawatan terpenting dalam parti tersebut. Malah, nama pengerusi MIC setiap negeri juga telah diumumkan oleh Presidennya, Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Dalam pemilihan itu Ahli Parlimen Tapah , Datuk Seri M. Saravanan diumumkan sebagai Timbalan Presiden parti yang baharu manakala Datuk T. Mohan, Datuk C. Sivaraajh dan Datuk T. Murugiah pula masing-masing di­pilih sebagai Naib Presiden baharu MIC.

S. A. VIGNESWARAN
S. A. VIGNESWARAN 

Dalam pada itu Vigneswaran, selaku Presiden yang baharu turut me­ngumumkan beberapa pelan tindakan dalam usaha menyuntik semangat kepada pemimpin serta ahli-ahli MIC bagi meraih kembali sokongan kaum India kepada parti ber­kenaan.

Sememangnya MIC telah melalui perjalanan politik yang berliku-liku. Parti itu pernah menempuh pelbagai cabaran, rintangan dan kekalutan termasuk kemelut kepimpinan yang menyebabkan tertubuhnya parti-parti serpihan oleh pemimpin-pemimpin ka­nan yang kecewa dengan kepimpinan MIC.

M. SARAVANAN
M. SARAVANAN 

Misalnya, kekalutan dan krisis ke­pemimpinan dalam MIC pada era 70-an dikatakan melumpuhkan perjalanan dan perjuangan parti sehingga Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, menyifatkan MIC sebagai parti yang hidup segan, mati tidak mahu.

Namun, apabila Tun S. Samy Vellu mengambil alih kepimpinan parti, pa­da awal tahun 80-an, beliau bukan sahaja mengatasi krisis kepimpinan dalam parti dengan bijaksana, malah berjaya memperkukuh­kan kekuatan parti untuk menghadapi beberapa siri pilihan raya umum selepas itu.

Kemunculan parti-parti serpihan dalam kalangan kaum India dilihat tidak mampu mencabar dan menggoncang kekuatan MIC. Malah MIC mencatatkan kemenangan 100 peratus dalam tiga pilihan raya umum iaitu pada 1995, 1999 dan 2004.

Namun, sentimen penolakan MIC mula berlaku pada 2007 apabila tercetusnya gelombang pergerakan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mendakwa kononnya kaum India terpinggir dalam arus perdana pembangunan negara.

Kesannya, MIC hilang hampir 85 peratus sokongan pe­ngundi India pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang diadakan pada 2008. Penolakan pengundi India kepada MIC itu turut menyebabkan beberapa pemimpinnya kecundang sehingga ke peringkat BN hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Datuk Seri G. Palanivel yang mengambil alih kepimpinan MIC daripada S. Samy Vellu pada 2010 masih tidak berjaya menahan kemerosotan sokongan kaum India kepada MIC. Begitu juga ketika MIC dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Subramaniam.

Justeru adalah amatlah diharapkan kepemimpinan baharu MIC lebih fokus kepada strategi memenangi hati dan minda golongan pengundi India muda melalui kaedah-kaedah yang telah dirancang. Antaranya mereka perlu bersedia dengan hardware iaitu pelan latihan kepada barisan pemimpin baharu untuk mencorakkan semula MIC terutama bagi meraih semula sokongan masyarakat India kepada parti itu.

Mereka juga perlu menyediakan software demi menyuntik semangat perjuangan kepada barisan pemimpin baharu sekali gus memastikan masa depan parti yang lebih cerah. Se­perti yang dikatakan sebelum ini, fokuskan perhatian kepada golongan muda India kerana mereka bakal menentukan masa depan politik Malaysia.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN