KUANTAN – Kawasan sekitar bangunan Wisma Sri Pahang dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok dan mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas oleh penguat kuasa tanpa kira jawatan atau pangkat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kawasan bangunan kerajaan dikategorikan antara 23 kawasan larangan merokok di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, ia tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan individu yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kompaun.
“Memang kawasan ini (Wisma Sri Pahang) adalah kawasan larangan merokok dan jika ada pihak tertentu merokok di sekitar bangunan yang sedang berlangsung persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini, tindakan tegas boleh diambil.
“Cuma, kalau kebetulan ketika mereka ini sedang merokok dan tidak ada pegawai penguatkuasaan ketika itu, kiranya macam rezeki mereka dan bernasib baik (tidak dikenakan tindakan). Kalau nak kira, memang tindakan boleh diambil terhadap mereka (perokok) tanpa mengira jawatan atau pangkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-14 berkenaan tindakan ramai pegawai kanan kerajaan merokok di kawasan sekitar Wisma Sri Pahang ketika persidangan berlangsung. – Bernama










