KUANTAN 26 Nov. – Sindiket Macau Scam terus bermaharajalela apabila memperdaya seorang mekanik dengan menyamar sebagai kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga mangsa kerugian RM20,000 semalam.
Kejadian bermula pada kira-kira pukul 3.42 petang selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan SPRM.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek memaklumkan mangsa mempunyai notis amaran SPRM sebelum talian

disambungkan kepada seorang lelaki bernama Guan Yeow Chong yang memberitahu mangsa terlibat dengan individu bernama Tan Wai Peng.
Menurutnya, talian telefon kemudian terputus dan pada kira-kira pukul 4.42 petang, mangsa dihubungi oleh nombor ‘+320319999’ dan bercakap dengan ‘Inspektor Wong’ yang memberitahu butiran mangsa disalah guna untuk membuat perniagaan haram, dadah, kes bunuh dan rasuah di Labuan, Sabah.
“Talian kemudian disambungkan kepada ‘Mr. Lim’ dari Bank Negara. Mangsa memberi nombor akaun bank, nama pemilik dan kata laluan bank HSBC miliknya dan diminta oleh Mr. Lim membuat semakan baki akaun yang didapati hanya tinggal RM567.81.
“Wang RM20,000 telah dipindahkan ke akaun HSBC bank 16220500017070 atas nama Nur Aeffaries. Berasa ditipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah di sini semalam,” katanya hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.










