Mengenang Saleem, mendoakan Zamani - Utusan Malaysia

Mengenang Saleem, mendoakan Zamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA, masih terasa pilu dengan pemergian penyanyi bersuara emas, Saleem pada 14 Oktober lalu. Generasi saya membesar dengan lagu-lagu kumpulan Iklim, sejak pertama kali ia muncul dengan lagu yang kami gelar lagu tayammum iaitu Suci Dalam Debu pada 1990.

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2017 - Sesi fotografi Saleem di Hotel Royal
KUALA LUMPUR, 10 Mei 2017 – Sesi fotografi Saleem di Hotel Royal 

Secara spesifik, lirik lagu ini bukan menceritakan kaedah bersuci. Sebaliknya lebih daripada itu, yang cukup sarat dengan mesej-mesej ketuhanan. Bagi yang tidak pernah mengendahkan mesej tersirat, ‘engkau’ di dalam lirik ini pantas disalah mengertikan sebagai ‘kekasih’.

Lirik lagu Suci Dalam Debu ini dihasilkan oleh seniman terkemuka negara iaitu S. Amin Shahab atau nama sebenarnya Syed Mohd. Amin Syed Hashim.

S. Amin adalah pengkarya ratusan lagu yang malar segar tak lekang dek hujan seperti Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats); Umpama Mimpi dalam Mimpi (Damasutra); Kekasih Awal Dan Akhir (Jamal Abdillah); Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi (Lefthanded); Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latiff); Hanya Satu Persinggahan (Ekamatra) dan lagu kegemaran peribadi, Langit Dan Bumi (Search).

Untuk kumpulan Iklim, terdapat lagi lagu selain Suci Dalam Debu, yang dihasilkan oleh S. Amin iaitu Di Pintu Mahligai dan Selamat Tinggal Penderitaan.

Kelebihan Saleem ialah suaranya, bermakna bila lagu ini didendangkan oleh orang lain, nescaya perbandingan pantas dilakukan. Dan walau bagaimana melodi cuba diubah kepada yang baharu, orang akan tetap merasakan Saleem adalah penyanyi terbaik untuk lagu asal Iklim.

Sepanjang kerjaya, malangnya saya tidak berkesempatan bertemu Allahyarham secara dekat. Paling hampir pun pada Disember 1993, ketika berkampung di Hospital Kuala Lumpur berikutan tragedi Highland Towers, tiba-tiba diberitahu Saleem terbabit dalam kemalangan di Setapak.

Pemergiannya bulan lalu pun selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Terima kasih Saleem kerana mengalunkan butir-butir frasa lirik Suci Dalam Debu dengan sebegitu merdu, yang kekal lama di minda.

Gerimis Mengundang

Kerjaya Saleem dimaklumi penuh warna-warni termasuk penggunaan bahan terlarang, sama seperti Zamani, penyanyi kumpulan Slam, yang lahir pada 1994. Lagu-lagu Slam, Gerimis Mengundang begitu popular ketika itu. Naik bas mini, kasetnya diulang-ulang siar. Malah, ada yang sanggup turun jauh, semata-mata mahu mendengar lagu itu sehingga tamat.

Minggu lepas, Zamani gagal melepaskan suaranya dalam peraduan Gegar Vaganza 5. Secara automatik, penyanyi yang gagal menyanyi akan terkeluar daripada saingan. Sekurang-kurangnya itu pendirian ketua juri, Datuk Ramli MS. Beliau sudah membuat keputusan tetapi pengekalan Zamani diputuskan oleh penaja rancangan. Tiada siapa hendak pertikai kredibiliti Ramli selepas ini.

Zamani tidak menyorok sejarah silamnya. Dalam satu wawancara, beliau mengakui menghidap sakit tulang belakang kesan daripada pengambilan bahan terlarang sebelum ini. Inilah faktor Zamani tidak sihat minggu lepas. Beberapa laporan terbaru di dalam internet menunjukkan Zamani akan beraksi malam ini.

Teringat ayat Ramli. Apa cerita kalau Zamani tidak sihat lagi di masa-masa mendatang? Oh ya, penaja rancangan hanya ada satu undi penyelamat dan telah digunakan minggu lepas. Ini bukan soal tidak suka Zamani atau apa-apa. Kredibiliti program seharusnya menjadi pegangan penerbit. Bukan kesihatan Zamani yang dijadikan taruhan.

Tidak perlu

Mesej utama kepada penyanyi lama di luar sana, kalau boleh tidak perlulah masuk pertandingan sebegini. Populariti Zamani, adalah berdasarkan lagu-lagu dicipta khusus kepada genre kumpulan Slam.

Bayangkan disuruh menyanyi lagu Adam Levine! Hendak tunjuk keupayaan sebagai penyanyi versatile? Benarkah? Tapi Datuk Jamal Abdillah tidak perlu pun menyanyi lagu heavy metal untuk pamerkan dia penyanyi berkarisma.

Penyanyi popular dulu-dulu tidak perlulah memalukan diri sendiri dan merosakkan kenangan para peminat. Tetapi benarlah hujah orang bahawa pendedahan menerusi program ini membuka semula pintu rezeki, malah mereka berpeluang pula memenangi hadiah lumayan.

Saya berdoa agar penyanyi popular lain di zaman saya remaja dulu, muncullah dalam program sebegini sebagai penyanyi jemputan sahaja, bukan peserta peraduan.

Tidak mengapalah Zamani. Saya seperti ramai penggemar Slam, akan menyimpan baik-baik kenangan persembahan konsert Grand Slam di Stadium Negara pada 1996. Persembahan minggu lepas sudah saya delete dari memori. Dan didoakan Zamani segera sembuh dan pulih daripada penyakitnya.

Kenapa saya Merrepak berkaitan dunia penyanyi pula hari ini? Ini kerana subjek Belanjawan 2019 ada keberangkalian tinggi bilangan pembaca Merrepak merudum. Dan hendak ulas apa lagi? Tiada yang menyentuh pun kumpulan menengah, yang terus-terusan diabaikan dari dulu hingga sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN