JOHOR BAHRU 17 Nov. – Pengerusi Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang menafikan sedang bergaduh dengan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, perkara itu tidak betul malah tidak terdetik dalam hatinya untuk mengkhianati Menteri Besar.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Tebrau itu sebaliknya menganggap Osman yang juga Pengerusi PPBM Johor sebagai sahabat seperjuangan sejak dulu lagi.
“Dia orang yang saya kagumi, kami bersama-sama semasa susah dan senang, tidak mungkin saya nak khianatinya. Saya akan menyokongnya selagi beliau di landasan yang benar.
“Benda ini (isu beliau bergaduh dengan Menteri Besar) tersebar daripada orang yang berlainan pihak dengan kami, jadi kalau nak guna propaganda macam ini saya rasa ia tidak berjaya untuk melemahkan kami,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Komuniti, Bandar Dato Onn di sini sebentar tadi.
Perkara itu timbul selepas wujud dakwaan sebuah Facebook yang mendakwa Mazlan merupakan calon Menteri Besar selepas ini.
Terdahulu satu status dimuat naik dalam sebuah Facebook memaklumkan berlaku pergolakan antara Osman dan beberapa barisan exco kerajaan negeri selain mendakwa Mazlan merupakan
calon Menteri Besar selepas ini.
Selain Mazlan, nama yang disebutkan adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Warisan negeri, Khuzzan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse. – UTUSAN ONLINE










