Mayat lelaki dalam longkang - Utusan Malaysia

Mayat lelaki dalam longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui mati dengan keadaan tangan terikat pada bahagian depan badannya dan terdapat tali pada bahagian leher dalam longkang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel di sini pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa yang dianggarkan berusia lingkungan 40-an ditemui oleh orang ramai yang melalui kawasan longkang tersebut di Blok A PPR berkenaan kira-kira pukul 11.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati dia berseluar panjang dan memakai baju-T berwarna hitam serta terbaring di dalam longkang berkenaan.

“Berdasarkan keadaan mayat mangsa, dia dipercayai mati kira-kira empat hingga lima hari lalu namun pihak polis masih menjalankan siasatan samada mangsa dibunuh di lokasi tersebut atau di tempat lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan menambah, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai berhampiran dengan lokasi mangsa ditemui.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan dibedah siasat.

“Siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes tersebut atau kehilangan ahli keluarga atau kenalan mereka boleh menghubungi Balai Polis Wangsa Maju di talian 03 4149 2222. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN