PULAU PINANG 26 Nov. – Biarpun 100 peratus pen- duduk Pantai Acheh dekat Balik Pulau di sini berbangsa Cina, namun mereka tidak sesekali dipinggirkan daripada program berkaitan Islam.
Hasil inisiatif Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, beberapa program diadakan bersama penduduk di situ seperti majlis berbuka puasa Jun lalu serta sambutan Maulidur Rasul minggu lalu.
ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim berkata, biarpun berbeza kaum dan agama, namun pihaknya tidak meminggirkan penduduk di kawasan itu.
Zolkifly berkata, beliau terpanggil mengadakan program seumpama itu di kawasan terbabit sebagai salah satu aktiviti dakwah serta menunjukkan kemurnian agama Islam kepada golongan bukan Islam.
“Selepas memikul amanah sebagai ADUN di Teluk bahang, saya terpanggil untuk merencanakan beberapa program kepada penduduk di Pantai Acheh dan antara yang dijalankan adalah majlis berbuka puasa serta sambutan Maulidur Rasul.
“Sambutan yang diberikan penduduk amat baik malah mereka mengalu-alukan program seumpama ini kerana kami dapat memperkenalkan Islam kepada kaum Cina di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam majlis Maulidur Rasul yang bertemakan Kongsikan Kasih Sayang minggu lalu, beberapa aktiviti diadakan seperti pertandingan bola keranjang, ping-pong serta ceramah dan kuiz berkaitan Islam.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
Sementara itu, Wan Salim berkata, program itu mampu mengelakkan salah faham berkaitan Islam dalam kalangan masyarakat serta menunjukkan betapa Islam menghargai agama lain.
Katanya, majlis itu juga dapat memperkenalkan sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad kepada orang bukan Islam di kawasan itu.
“Rakyat berbilang kaum di negara ini hidup aman harmoni sejak sekian lama dan kepelbagaian ini harus diraikan secara toleransi serta tidak harus menjadi penghalang untuk memahami agama lain.
“Kita berkongsi kasih sayang serta melalui program ini, kaum Cina di sini diberikan maklumat tentang Nabi Muhammad SAW iaitu Rasul junjungan umat Islam,” katanya.










