KUALA LUMPUR 18 Nov.– Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) terus mempersoalkan sikap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang berterusan mempersalahkan beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun setelah enam bulan mentadbir negara.
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, selepas mendakwa peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM36 juta hilang, kini Maszlee cuba menuduh wang di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M) juga menerima nasib sama.
“Susu sekolah tak hilang. Malangnya, program susu ini tidak diteruskan untuk tahun ini kerana dana peruntukan tidak diluluskan dan disalurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“Sekali lagi didapati kerajaan PH sendiri yang salah tetapi Menteri Pendidikan mahu mempersalahkan saya dan kerajaan BN dahulu. Sudah lebih enam bulan mentadbir, sampai bila kerajaan PH mahu menyalahkan kerajaan BN? Adakah Menteri Pendidikan kita sekarang mahu mendidik anak-anak muda kita untuk berbohong dengan bersungguh-sungguh dan membuat tuduhan liar sebelum menyiasat?” soalnya.
Najib berkata demikian dalam akaun Facebook miliknya yang turut memaparkan muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini bertajuk Susu Sekolah Tidak Hilang.











