KUALA LUMPUR 26 Nov.- Kesemua mangsa konvoi motosikal yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 405, Lebuh raya Utara Selatan arah utara berhampiran Kuala Kubu Bahru, Selangor semalam dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, tiga daripada lima mangsa yang menerima rawatan di hospital telah dibenarkan pulang manakala dua lagi masih menerima rawatan.
“Seorang lagi mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh manakala rakannya telah ditukarkan ke Hospital Kuala Lumpur hari ini,”katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam, Mohamad Faridzuan Shariff,20, dan Muhammad Nur Shafiq Mukmin, 18, maut.
Lima lagi cedera selepas kumpulan konvoi terbabit dilanggar sebuah treler dari arah belakang ketika berada di lorong kecemasan untuk membantu seorang rakan mereka yang terlibat dalam kemalangan.- UTUSAN ONLINE










