CHICO, Amerika Syarikat 21 Nov. – Penduduk California Utara yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran hutan besar baru-baru ini sekali lagi diuji apabila mereka bakal berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu termasuk hujan lebat dan lumpur tebal di pusat-pusat pemindahan sementara.
Keadaan cuaca tersebut juga secara tidak langsung menyukarkan pasukan penyelamat untuk mencari dan membawa keluar mayat-mayat yang terperangkap akibat bencana kebakaran sebelum ini.
Kebakaran itu menyaksikan sekurang-kurangnya 81 orang terkorban dan ratusan lagi dilaporkan hilang.
Taburan hujan lebat dijangka turun selama beberapa hari bermula awal pagi ini di sekitar pekan Paradise yang menempatkan hampir 27,000 penduduk yang kebanyakannya pesara.
Pengkaji cuaca meramalkan keadaan hujan itu juga boleh menyebabkan lumpur tebal terbentuk dan banyak serpihan kebakaran akan dihanyutkan ke dalam sungai.
Pakar hidrologi, Cindy Mathhews berkata, keadaan itu bagaimanapun kurang berisiko kepada mangsa yang terjejas akibat kebakaran memandangkan proses pemindahan secara besar-besaran masih dilakukan sejak kebakaran bermula pada 8 November lalu.
Beliau menyatakan risiko berlakunya tanah runtuh di zon kebakaran juga mungkin rendah memandangkan kawasan itu dipenuhi dengan tanah gunung berapi dan cerun yang cetek.
Bagaimanapun, pihak berkuasa di California Selatan memberi amaran kepada penduduk di zon kebakaran supaya berjaga-jaga dengan aliran lumpur akibat hujan lebat. – REUTERS










