Malaysia destinasi no. 1 rakyat Jepun - Utusan Malaysia

Malaysia destinasi no. 1 rakyat Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Nov. – Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan nombor satu rakyat Jepun selama 12 tahun berturut-turut sejak 2006 sebagai tempat untuk didiami bagi jangka masa panjang.

Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya berkata, sehingga kini terdapat 24,000 rakyat Jepun yang tinggal di negara ini sama ada untuk bekerja mahupun menjadikannya sebagai ‘rumah kedua’.

TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Da
TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Hassan Mohamood (dua dari kiri) dan Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya (tiga dari kiri) memukul gendang Jepun semasa perasmian Pesta Budaya Kelate-Jepon di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu semalam. – UTUSAN ONLINE/ ASMA HANIM MAHMOOD

Beliau berkata, antara sebab utama penduduk negara Matahari Terbit itu memilih Malaysia adalah kerana negara ini aman dan selamat, penduduknya ramah dan mesra serta faktor iklim dan cuaca yang selesa.

“Kebanyakan orang Jepun yang sudah bersara memilih tinggal bergilir antara Jepun dan Malaysia, mereka berada di sini antara tempoh tiga bulan hingga enam bulan setiap tahun khususnya semasa Jepun dilanda musim sejuk dan panas kerana cuaca ketika itu agak melampau di sesetengah tempat.

“Bandar raya Tokyo misalnya sangat panas di musim panas dan sangat sejuk di musim sejuk. Jika musim bunga dan musim luruh adalah masa terbaik untuk berada di Jepun maka di luar musim itu, kami akan pergi ke negara-negara Asia Tenggara khususnya Malaysia,” katanya.

SEBAHAGIAN pengunjung yang membanjiri Pesta Budaya Kelate-Jepon di Dewan Jubli Perak Majlis Perbanda
SEBAHAGIAN pengunjung yang membanjiri Pesta Budaya Kelate-Jepon di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu semalam. – UTUSAN ONLINE/ ASMA HANIM MAHMOOD

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Pesta Budaya ‘Kelate-Jepon’ di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini semalam.

Program itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Hassan Mohamood.

Program julung kali itu merupakan anjuran bersama kerajaan Pas Kelantan menerusi MPKB-BRI, Pejabat Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, syarikat Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd.; Yayasan Jepun dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

BEBERAPA orang pelajar mencuba permainan 'kendama' di Pesta Budaya Kelate-Jepon di Dewan Jubli Perak
BEBERAPA orang pelajar mencuba permainan ‘kendama’ di Pesta Budaya Kelate-Jepon di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu semalam. – UTUSAN ONLINE/ ASMA HANIM MAHMOOD

Sementara itu, Kanoya berkata, beliau terkejut dengan sambutan hangat penduduk negeri ini yang hadir menyaksikan pelbagai aktiviti kesenian yang disediakan seperti dikir barat, tarian Bon Odori, gendang Jepun, rebana ubi, origami, gasing terbang, silat tari dan demonstrasi memakai ‘yukata’.

“Hubungan antara Jepun dan Malaysia sudah bermula lama, saya berharap program budaya seperti ini akan mengukuhkan lagi persahabatan kita demi generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN