Majlis Tindakan Pelancongan di Sabah diaktifkan tahun depan - Utusan Malaysia

Majlis Tindakan Pelancongan di Sabah diaktifkan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 29 Nov. – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew mahu Majlis Tindakan Pelancongan di 26 daerah di negeri ini diaktifkan pada tahun depan.

Katanya sebahagian besar daerah di Sabah mempunyai Majlis Tindakan Pelancongan yang ditubuhkan dengan bantuan dan sokongan Lembaga Pelancongan Sabah.

Christina Liew
Christina Liew 

Beliau berkata setiap majlis tindakan itu bertanggungjawab mengenal pasti dan membangunkan produk masing-masing untuk manfaat daerah dan masyarakat mereka.

“Pada Tahun Baharu akan datang, lebih banyak pelancong dijangka datang ke sini melalui penerbangan biasa serta penerbangan disewa khas, dan kita boleh bayangkan pendapatan juga dijangka meningkat. Ini salah satu cara kita dapat meningkatkan ekonomi di daerah-daerah.

“Kita juga mahu keseimbangan pelancongan di Sabah, bukan hanya memberi tumpuan di Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu dan pulau tetapi di seluruh daerah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti di sini hari ini.


Liew berkata Pelancongan Berasaskan Komuniti mempunyai peluang cerah kerana ia dapat meningkatkan kesemua daerah dan bandar menjadi entiti perniagaan yang boleh menyumbang kepada ekonomi negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi kementeriannya boleh menyediakan infrastruktur diperlukan kepada semua daerah bagi memastikan pengalaman melancong ke negeri ini lebih selesa dan menarik.

“Setelah Majlis Pelancongan Daerah mengenal pasti produk, jika mereka mahu melakukan promosi terhadap produk pelancongan masing-masing, mereka boleh terus berhubung dengan kami (kementerian). Pegawai kami akan bekerjasama dengan mereka,” kata Liew.

Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, disertai 16 peserta berbanding hanya empat peserta tahun lepas.

Terdahulu dalam ucapannya, Liew berkata sehingga September tahun ini, sektor pelancongan menjana pendapatan dianggarkan berjumlah RM6.2 bilion atau tujuh peratus kepada ekonomi Sabah.

Liew berkata ketibaan pelancong di negeri ini dalam tempoh sama pula direkodkan sebanyak 2.865 juta orang. – BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN