SHAH ALAM 18 Nov. – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berharap partinya di bawah kepimpinan Presiden baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa membuat sebarang keputusan penting secara kolektif melibatkan kesemua pemimpin utama.
Beliau berkata, komitmen itu akan memastikan setiap pemimpin PKR bercakap dengan nada yang sama dalam apa jua isu.
“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, saya harap pemimpin kita dapat berganding bahu dengan membuat keputusan yang kolektif agar kita semua bercakap dalam nada yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi Ucapan Penggulungan Ketua Wanita PKR dalam Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini sebentar tadi.
Zuraida dan beberapa lagi pemimpin yang berada dalam kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilihat kerap berbeza pandangan dengan pucuk tertinggi pimpinan parti.
Paling nyata ialah sewaktu pemilihan kerusi Port Dickson yang mahu ditandingi oleh Anwar untuk kembali ke Parlimen. – UTUSAN ONLINE










