PUTRAJAYA 28 Nov.- Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak.
Menurut sumber, Ahli Parlimen Padang Terap merangkap Naib Presiden UMNO itu tiba pada pukul 10 pagi dengan menaiki kereta jenis Mercedes-Benz berwarna putih.
“Mahdzir tiba pada pukul 10 pagi, beliau datang untuk memberi keterangan dan sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan ditahan atau tidak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Mahdzir bersama seorang ahli perniagaan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung projek bersepadu sistem solar untuk sekolah luar bandar Sarawak.
Difahamkan, Mahdzir dan individu terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pada Oktober lalu, Mahdzir telah memberi keterangan selama lima jam kepada SPRM berhubung skandal projek solar tersebut.-UTUSAN ONLINE










