KUCHING 29 Nov. – Sejumlah RM17.7 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 untuk menjadikan Limbang dan Lawas sebagai kawasan utama pembiakan dan pengeluaran kerbau di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.
Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri berkata, di bawah program itu, bantuan khas akan diberikan kepada penternak sedia ada.
“Mereka akan diajar teknik pengurusan ladang moden dan aplikasi permanian beradas untuk meningkatkan kelahiran,” katanya selepas menyampaikan geran RM1.2 juta untuk membantu 484 penternak membaikpulih atau menaik taraf pagar 34 ladang komunal mereka di Limbang hari ini.

Uggah berkata LImbang dan Lawas mempunyai potensi besar kerana kedua-duanya juga merupakan kawasan tradisional pembiakan kerbau di negeri ini dan tumpuan segera kementerian adalah untuk meningkatkan bilangannya daripada 5,500 ekor kerbau pada masa ini kepada 11,000 ekor menjelang 2025.
Selain menjana lebih banyak pendapatan untuk penternak, beliau berkata pasaran tidak menjadi masalah kerana ada permintaan berterusan dan besar dari Brunei.
“Sebenarnya terdapat permintaan tempatan yang besar terutama semasa Hari Raya Korban,” katanya.- BERNAMA










