Lima tahun derita gara-gara doktor salah diagnos penyakit - Utusan Malaysia

Lima tahun derita gara-gara doktor salah diagnos penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 27 Nov. – Seorang lelaki menghabiskan masa selama lima tahun menerima rawatan kimoterapi dan ubat tahan sakit selepas beberapa doktor sahkan dia menghidap kanser namun baru-baru ini dia dimaklumkan tidak menghidap pe­nyakit itu.

Lapor Oddity Central, kisah malang ini bermula lima tahun lalu apabila James Salaz mendapatkan rawatan di sebuah hospital untuk memeriksa rasa sa­kit di bahagian bawah ketiaknya.

Selepas menjalani pemeriksaan, doktor memberitahu ke­pu­tusan ujian menunjukkan terdapat dua keadaan luar biasa di dalam paru-paru kirinya.

Setelah menjalani beberapa ujian biopsi paru-paru, Salaz dikenal pasti menghidap histio­sitosis sel Langerhan, sejenis kanser yang jarang berlaku dan menyebabkan pertambahan bilangan sel dalam anggota badan, merosakkan tisu dan akhirnya menyebabkan kematian.

Dia yang sedih mendengar per­khabaran itu bertemu dengan beberapa lagi doktor di Montrose, Delta, Grand Junction dan Denver, kesemuanya mengesahkan dia meng­hidap penyakit yang sama.

“Mereka maklumkan saya orang pertama di Colorado yang menghidap kanser jenis itu.

“Saya tidak mampu menanggung kesakitan dan berasa ingin mati kerana terpaksa menjalani kimoterapi,” ujar Salaz.

Susulan itu, Salaz terpaksa mengambil ubat tahan sakit bagi meringankan kesakitan ke­rana menjalani kimoterapi dan berharap usaha itu akan menyelamatkan nyawanya.

Bagaimanapun, keadaan men­jadi lebih buruk apabila dia berjumpa dengan seorang doktor, Dr. Choon-Kee Lee di Hospital Montrose dan mendapati dia telah ditamatkan rawatannya di hospital itu.

Disebabkan itu, dia mendapatkan rawatan di hospital lain dan dikesan tidak menghidap penyakit itu.

“Doktor beritahu saya tidak pernah menghidap kanser Lan­ger­han. Saya kena ruam dan jika diubati lima tahun lalu, penyakit itu akan hilang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN