Lelaki ditemukan mati dengan tangan diikat - Utusan Malaysia

Lelaki ditemukan mati dengan tangan diikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Seorang lelaki ditemukan mati dengan tangan dan leher diikat tali di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemukan orang awam yang kebetulan melalui kawasan longkang di Blok A PPR tersebut kira-kira pukul 11.15 pagi.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati mangsa yang berseluar panjang dan memakai baju T berwarna hitam terbaring di dalam longkang.

“Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai mati dalam tempoh empat hingga lima hari lalu namun pihak polis masih menjalankan siasatan sama ada mangsa dibunuh di lokasi berkenaan atau lokasi lain.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mazlan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini atau kehilangan ahli keluarga atau kenalan mereka boleh menghubungi Balai Polis Wangsa Maju,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN