Lebih 1,000 penduduk masih hilang - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 penduduk masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARADISE, Amerika Syarikat – Jumlah individu yang disenaraikan hilang dalam kebakaran hutan yang dahsyat di utara California melonjak melebihi 1,000 orang kelmarin selepas tambahan lapan lagi mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat.

Syerif Daerah Butte, Kory Honea memberitahu, bilangan orang yang belum dikenal pasti telah melonjak daripada 631 kepada 1,011 dalam masa 24 jam terakhir kerana pihak berkuasa menerima lebih banyak laporan kehilangan orang dan panggilan kecemasan yang dibuat apabila kebakaran berlaku.

“Saya mahu anda memahami bahawa ini adalah senarai dinamik,” katanya kepada pembe­rita.

Beliau berkata, 329 orang yang telah disenaraikan sebagai hilang sejak kebakaran berlaku setakat ini telah dikenal pasti.

“Maklumat yang saya berikan kepada anda merupakan data kasar dan kami mendapati terdapat kemungkinan bahawa senarai itu mengandungi dua nama yang sama,” katanya sambil menambah bahawa beberapa orang yang berpindah ketika menyelamatkan diri mungkin juga tidak menyedari bahawa mereka telah disenaraikan sebagai hilang.

Lapan mayat mangsa yang ditemui kelmarin membawa kepada jumlah 71 kematian akibat kebakaran yang dikenali sebagai Camp Fire yang disifatkan pa­ling dahsyat dan membinasakan dalam sejarah California.

Kebakaran besar itu bermula pada 8 November lalu di bandar Paradise yang terletak di kaki bukit utara gunung Sierra Nevada sehingga terjejas teruk dan menyebabkan beribu-ribu orang melarikan diri.

Presiden Donald Trump dijangka melawat wilayah itu semalam untuk meninjau kerosakan dan bertemu dengan mangsa kebakaran yang berlaku di kawasan seluas kira-kira saiz bandar Chicago.

Pihak berkuasa kelmarin berkata, Fire Camp telah memusnahkan kawasan seluas 59,000 hektar dan 50 peratus isinya.

Seramai 47,200 orang telah dipindahkan dan hampir 1,200 orang lagi tinggal di tempat perlindungan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN