MELAKA 25 Nov. – Lebih 100 ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir hari ini mengisytiharkan untuk keluar daripada parti itu akibat krisis dalaman melibatkan jawatan dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Bekas Pengerusi Amanah cawangan tersebut, Jalalludin Mulot mendakwa, dia bersama kesemua ahli Amanah di kawasan itu bertindak keluar parti kerana terdapat campur tangan daripada pihak luar dalam pengurusan jawatan MPKK Kampung Paya Rumput Jaya Hilir.
Menurutnya, kemelut perebutan jawatan dalam MPKK kawasan tersebut sudah lama berlarutan dan masalah itu hanya melibatkan dalam kalangan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cawangan berkenaan.
“Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor telah hubungi saya untuk memberitahu dan beri mandat kepada saya supaya ambil alih tugas Pengerusi MPKK, maknanya dipulangkan kpd Amanah. Kawasan ini adalah kawasan diagihan kepada Amanah, tetapi atas dasar kompromi , Amanah terbuka untuk memilih daripaa parti mana sekalipun untuk menerajui MPKK.
“Atas dasar amanah, saya membentuk jawatankuasa di MPKK dan dapat menyelesaikan masalah serta perjalanan MPKK berjalan lancar. Akhirnya (saya) diberitahu pihak Japerun, penyelaras kata Pengerusi MPKK adalah diiktiraf menerusi salah satu daripada pihak yang bergaduh itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bagi mengisytiharkan pembubaran Amanah Cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir bersama para penyokongnya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











