KUALA LUMPUR 5 Nov.- Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan bahawa arahan larangan berpantun yang dikeluarkan bertujuan untuk mengenepikan adat dan budaya negara.

Dalam satu kenyataan, ATM berkata, arahan yang meminta agar tidak menggunakan seloka, pantun dan jenaka oleh juruacara hanya melibatkan majlis rasmi ketenteraan yang bersifat regimental dan pelaksanaannya dilakukan dengan tertib, penuh dengan adab dan etika ketenteraan.
Majlis rasmi yang termasuk dalam larangan tersebut adalah acara yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong, raja-raja dan pembesar negeri, acara perbarisan dan acara rasmi yang dilaksanakan di peringkat ATM dan perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Namun begitu ATM masih memberi kelonggaran untuk penggunaan pantun, gurindam, seloka dan seumpamanya di dalam majlis yang tidak bersifat regimental.
“Seperti sambutan ketika majlis yang melibatkan jamuan bersama anggota keluarga, sukan dan sebagainya,” kata kenyataan tersebut.
Semalam tular surat pekeliling arahan rasmi bertarikh 2 November 2018 kepada semua Markas TDM, TLDM dan TUDM agar tidak menggunakan pantun dan jenaka oleh juruacara ketika majlis-majlis rasmi ketenteraan.
Arahan tersebut mendapat kritikan daripada budayawan negara, Tan Sri Rais Yatim yang mempertikaikan larangan itu.
Rais melahirkan perasaan tidak puas hati beliau di Twitter dengan berkata,”Baca surat ini. Takkanlah Melayu dah begitu daif budaya sendiri hinggakan nak berpantun pun dihalang.
“Kini tentera tak dibenarkan guna pantun dama skrip. Dewan Bahasa (dan Pustaka) kamu buat apa? Sasterawan-sasterawan negara, pejuang-pejuang bahasa tunggu apa lagi”.
Surat larangan yang dikongsi Rais itu ditandatangani Ketua Staf Markas ATM, Datuk Kamalruzaman Mohd Othman menyebut arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi ketenteraan ATM.
“Satu perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin) telah diadakan berhubung kewajaran penggunaan pantun di dalam skrip juruacara semasa berlangsungnya majlis-majlis rasmi ketenteraan.
“Hasil daripada perbincangan tersebut adalah dimaklumkan PAT telah memutuskan bahawa tiada lagi penggunaan pantun dalam skrip juruacara bagi setiap majlis rasmi ketenteraan,” kata Kamalruzaman.-UTUSAN ONLINE










