JOHOR BAHRU 25 Nov. – Dapatan Jawatankuasa Khas tentang kebakaran di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) dua tahun lalu perlu dibentang dalam mesyuarat Kabinet terlebih dahulu sebelum didedah kepada umum.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, laporan siasatan berhubung kejadian yang mengorbankan enam nyawa itu telah lengkap.
“Jawatankuasa ini ditubuhkan Kabinet. Jadi, ia perlu dibentang di peringkat itu terlebih dahulu dalam waktu terdekat.
“Dapatan dan cadangan daripada siasatan yang dijalankan jawatankuasa khas ini akan didedahkan kepada umum selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Permai, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











