Laporan kebakaran dibentang segera - Utusan Malaysia

Laporan kebakaran dibentang segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 26 Nov. – Laporan dapatan Jawatankuasa Khas tentang kebakaran di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) dua tahun lalu akan dibentang terlebih dahulu dalam mesyuarat Kabinet sebelum didedah kepada umum.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, laporan siasatan berhubung kejadian yang mengorbankan enam nyawa itu telah lengkap.

“Jawatankuasa ini ditubuh­kan Kabinet. Jadi, ia perlu dibentang di peringkat itu terlebih dahulu dalam waktu terdekat.

“Dapatan dan cadangan daripada siasatan yang dijalankan jawatankuasa khas ini akan didedahkan kepada umum selepas itu,” katanya selepas me­nga­dakan lawatan kerja ke Hospital Permai, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahudeen Abd. Aziz.

Dzulkefly turut memaklumkan Kementerian Kesihatan te­lah mengambil beberapa inisiatif bagi menambah baik ke­perluan di HSA berikutan kejadian pada 25 Oktober 2016 itu.

“Peruntukan berjumlah RM25 juta telah diluluskan bagi kerja pemasangan ‘sprinkler’, pendawaian dan lain-lain kerja berkaitan manakala RM4.77 juta pula bagi menaik taraf sistem perangkap kilat di HSA.

“Sementara itu, pihak hospital juga telah memohon peruntukan sebanyak RM10.5 juta bagi membaik pulih ICU yang terjejas di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya.

Menurutnya, kerja penggantian kapasitor dan ‘ballast’ di lokasi kritikal juga telah diselesaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN