PULAU PINANG 26 Nov. – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa kesal dengan tindakan beberapa persatuan pengusaha restoran makanan yang membantah cadangan kerajaan supaya kedai makan dijadikan zon bebas merokok.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, bantahan itu menafikan hak kira-kira 80 peratus penduduk negeri ini yang tidak merokok untuk mengelak terdedah kepada bahan kimia daripada asap rokok yang dihembuskan ke dalam persekitaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak tunduk dengan desakan persatuan pengusaha restoran berkenaan sebaliknya tegas dalam melindungi majoriti rakyat daripada ancaman racun yang dibebaskan perokok.
“Kita ingin menegaskan tujuan utama orang ramai ke restoran atau kedai makan adalah untuk makan, bukannya untuk merokok.
“Maka, golongan bukan perokok tidak wajar bertolak ansur dengan 4,000 bahan kimia berbahaya yang boleh ditemui dalam tembakau dan dilepaskan daripada asap perokok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut S. M. Mohamed, pengusaha restoran tidak seharusnya memikirkan soal keuntungan semata-mata sedangkan dalam masa sama mengabaikan aspek risiko kesihatan dalam kalangan orang ramai yang terdedah kepada bahaya asap rokok.
Katanya, peraturan supaya setiap perokok berada tiga meter dari sesebuah restoran perlu dikuatkuasakan pengusaha kedai makan tanpa sebarang kompromi.
“Sehubungan itu, kita menggesa pihak berkuasa meningkatkan pemeriksaan dan serbuan terhadap restoran dan kedai makan bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan ini.
“Dalam masa sama, pemeriksaan juga perlu dilakukan bagi mengesan sekiranya terdapat rokok seludup dijual kepada pelanggan dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada pengusaha restoran terlibat,” katanya.










