Kongres PKR: Wan Azizah dilantik Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkuat kuasa hari ini - Utusan Malaysia

Kongres PKR: Wan Azizah dilantik Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkuat kuasa hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta-merta dalam Kongres Nasional Keadilan ke-13 hari ini.

Perlantikan itu hasil usul khas Pengerusi Jawatankuasa Usul, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan disokong sebulat suara oleh ahli sebelum diluluskan oleh Pengerusi Tetap Kongres Keadilan, Senator Ismail Yusof.

Ahmad Fahmi yang merupakan Pengarah Komunikasi PKR berkata, usul itu merupakan cadangan hasil mesyuarat ahli Majlis Pimpinan Pusat malam tadi.

Katanya, ini bagi memastikan Wan Azizah terus memainkan peranan aktif di dalam parti bagi melakar kejayaan yang lebih bermakna dalam membela rakyat dan meningkatkan martabat negara.

“Kita belum menetapkan secara khusus tugas dan jumlah anggota Majlis Penasihat ini. 

“Secara dasarnya adalah mengambil segala pengalaman yang ada pada Wan Azizah dan beberapa tokoh lain yang boleh dipercayai dalam memberikan pandangan supaya PKR kekal dalam landasan perjuangan dan membela nasib rakyat,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online selepas Kongres Keadilan di sini hari ini.

Wan Azizah akan mengakhiri tugasnya sebagai Presiden PKR dan digantikan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti sebelum ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pengganti Anwar sebagai Ketua Umum dan pengekalan jawatan tersebut dalam parti, Ahmad Fahmi menegaskan kepimpinan parti belum membuat sebarang ketetapan berkaitannya. 

“Cuma setakat ini, Wan Azizah akan menjadi Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkuat kuasa serta-merta hari ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN