SHAH ALAM – Wakil perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis, Tengku Nazeri Tengku Adlin mencuri tumpuan hari ini apabila berjaya menyatukan dua kem calon bagi pemilihan Timbalan Presiden parti.
Beliau tanpa berselindung memohon supaya kedua-dua kem antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli menghentikan perbalahan ekoran pemilihan parti tersebut.
Katanya, pemilihan PKR sebelum ini menyebabkan kedua-dua kem berkelahi, bergaduh untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat.
“Menang sudah menang, Putrajaya sudah tawan, Anwar sudah bawa keluar dan duduk dengan (Datuk Seri Dr.) Wan Azizah (Wan Ismail).
“Sekarang masa kita isi kemenangan ini. Minta team Rafizi, team Azmin hari ini hentikanlah, masa (pemilihan) sudah habis,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden di Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.
Perbahasan tersebut kemudiannya mendapat tepukan gemuruh kesemua perwakilan termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Wan Azizah bangun menyatakan sokongan terhadap ucapan Naib Ketua Cabang (2) PKR Arau.
Turut dapat disaksikan adalah Mohamed Azmin dan Rafizi saling berpelukan dan bersalaman sebagai tindak balas terhadap pembahasan tersebut.
Dalam pada itu, Tengku Nazeri berharap Anwar sebagai bakal Presiden melihat kembali proses pemilihan PKR yang didapati tidak tersusun dan berjalan lancar seperti diharapkan ahli.
“Kita tidak mahu pemilihan begini, buatlah pembaharuan. Jumlah ahli mengundi tidak sampai 200,000, berapa hari kira tidak habis lagi.
“Di India itu, ada berjuta pengundi tapi tidak sebegitu. Jadi, bawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat pergi ke India untuk belajar (proses mengundi),” katanya. – K! ONLINE











