SHAH ALAM – Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-13 hari ini bersetuju dengan syor untuk mengekalkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) sehingga peralihan kerajaan baharu yang bakal diadakan nanti.
Syor tersebut yang diusulkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menyampaikan ucapan penggulungan mendapat sokongan penuh daripada kesemua perwakilan yang hadir.
Menurut beliau yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah bersepakat melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM) dan Wan Azizah sebagai timbalannya.
“Majlis Presiden PH juga bersetuju untuk melantik (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sebagai Perdana Menteri Kelapan malah kita juga tidak menetapkan jangka masa tertentu bagi peralihan berkenaan.
“Oleh itu, apakah akan terjadi kepada Wan Azizah? resolusi PH hanya menyebut Dr. Mahathir sebagai calon PM, Wan Azizah (TPM) manakala Anwar dicalonkan sebagai PM,” katanya di sini.
Saifuddin menambah, keputusan menamakan ketiga-tiga tokoh tersebut tidak diikat dengan apa-apa jawatan disandang di dalam parti seperti Dr. Mahathir (Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Wan Azizah (Presiden PKR).
“Jadi saya mahu mengangkat satu syor bahawa Wan Azizah kekal sebagai TPM sehingga satu peralihan kepimpinan yang akan berlaku pada satu masa yang ditetapkan kelak,” jelasnya. – K! ONLINE










