Keutuhan cinta Fazley, Azrene - Utusan Malaysia

Keutuhan cinta Fazley, Azrene

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGULANGI sejarah 13 tahun lalu, Datuk Fazley Yaakob dan Datin Azrene Soraya Abdul Aziz mengambil keputusan menaiki pelamin sekali lagi kerana mahu mengimbas semula kenangan Raja Sehari mereka yang tidak dapat diraikan secara meriah pada ketika itu.

Majlis yang dirancang ini bukan semata-mata untuk membuktikan bahawa cinta mereka tetap utuh sehingga hari ini biarpun diduga pelbagai dugaan dan cabaran, sebaliknya itu juga adalah amanah daripada arwah bapa Fazley, Datuk Yaakob Mohammad yang mahu anak dan menantunya itu menyambut hari bahagia mereka dengan insan-insan tersayang.

Kira-kira 400 tetamu dijemput dan pasangan romantik itu memilik untuk meraikan cinta mereka dengan tema moden tradisional.

Fazley, 40, akan mengenakan pakaian daripada Bon Zainal dan Azrene, 39, pula memilih gaun putih rekaan Fizi Woo manakala majlis tersebut diuruskan oleh kakitangan SukaSucre Bistro sejak tiga minggu lalu.

Keterujaan jelas terbayang pada wajah penyanyi lagu Asmara Ini tatkala bercerita tentang majlis tersebut memandangkan sebelum ini Fazley tidak berpeluang untuk meraikan hari bersejarahnya secara terbuka.

“Saya mahu melaksanakan majlis tersebut secara sederhana bagi meraikan ahli keluarga, rakan-rakan dan rakan media yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan lalu. Ini juga merupakan janji yang pernah saya buat kepada arwah bapa.

“Biarpun 13 tahun lalu, saya dan Adik Sayang (panggilan buat isteri) mengadakan majlis resepsi selepas bernikah, tapi saat itu kami tidak ceria seperti pasangan pengantin baharu yang lain. Hanya air mata mengalir pada pipi kami mengiringi hari bahagia itu.

“Sebab itulah saya dan isteri tidak mampu ingat apa yang terjadi, siapa yang hadir dan apakah butiran lain sepanjang majlis berlangsung. Majlis persandingan yang seharusnya menjadi hari yang terindah bertukar menjadi hari penuh tangisan, kesedihan dan ketakutan,” katanya berkongsi kenangan silam.

Biarpun sepanjang tempoh perkahwinan mereka diuji dengan pelbagai dugaan, cinta Fazley dan Azrene tetap utuh.

“Pelbagai kenangan, pelbagai dugaan namun berkat doa semua, saya dan Azrene terus setia sehingga hari ini.

“Sepanjang melayari rumah tangga bersama, saya sentiasa ingat pesan arwah bapa. Katanya. Bukan semua yang manis itu madu dan bukan semua yang pahit itu racun.

“Arwah bapa juga berpesan, kalau sampai waktu sesuai dia mahu kami bersanding semula. Ketika majlis perkahwinan berlangsung sebelum ini, ramai jemputan dalam kalangan rakan politik arwah tidak dapat hadir atas sebab tertentu. Begitu juga pihak media. Pendek kata, siapa yang pernah berada pada majlis kami dahulu tahu apa yang terjadi.

“Sekurang-kurangnya apabila majlis persandingan ini dibuat semula, saya dapat mengembalikan pengalaman itu kepada isteri. Saya nak dia merasai momen perkahwinan seperti pasangan lain,” jelasnya yang akan menyediakan sendiri masakan untuk tetamu.

Dikurniakan empat cahaya mata, Ahmad Fariedz, 10; Ahmad Fieradz, 8; Ahmad Fierudz, 7; dan Alayna Salma, setahun, Fazley berharap majlis persandingannya itu akan berjalan lancar dan memberikan kenangan indah kepada isterinya.

Jadi duta pelbagai produk

MENJADI juara program MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012 memberi rahmat besar kepada Fazley yang kini turut dikenali sebagai Cef Selebriti selain bergelar penyanyi dan pelakon.

Kepakaran memasak yang dimiliki Fazley juga secara tak langsung menarik perhatian pelbagai pengeluar produk untuk melantiknya sebagai duta jenama mereka.

Sehingga kini, Fazley boleh dikatakan antara cef yang paling banyak menjadi duta untuk produk yang digemari ramai seperti Mahsuri, F&N, Kings, Mazola, San Remo, Panasonic Cooking, Jaya Grocer, Thermos dan Street Churros.

Menjadi duta kepada pelbagai produk juga menuntut Fazley untuk berkorban masa dengan keluarga kerana dia perlu menjelajah ke merata tempat untuk mengadakan promosi bagi produk tersebut.

“Sebenarnya tugas saya tidak semudah yang anda semua nampak. Oleh kerana saya menjadi duta untuk produk jenama makanan, setiap satu produk saya perlu menyediakan resipi yang berbeza.

“Contohnya, kalau saya buat resipi menggunakan jenama A, untuk produk jenama B, saya tidak boleh mengetengahkan resipi yang sama. Mesti berbeza dan di situlah cabarannya kerana setiap kali saya turun mengadakan promosi, resipi yang ditonjolkan mesti yang baharu,” ceritanya.

Walaupun banyak cabaran, Fazley bersyukur kerana dia tidak pernah kering idea untuk menghasilkan resipi berbeza dengan kadar segera.

Sebagai cef kata Fazley, sebelum bersedia menerima tawaran menjadi duta sesuatu produk, dia mencuba terlebih dahulu produk tersebut.

“Saya akan mengkaji terlebih dahulu produk berkenaan sebelum memikul tanggungjawab sebagai duta. Sebagai cef saya tidak boleh menipu pelanggan dan sebab itulah sebelum terima tawaran saya akan cuba produk itu terlebih dahulu.

“Biasanya saya akan teliti ramuan yang digunakan, pengilang selain keselesaan saya dan tentu sekali produk itu mestilah mendapat kelulusan pihak kementerian. Selepas saya melihat semua itu dan berpuas hati barulah saya akan terima tawaran untuk menjadi duta,” akuinya.

Jelas Fazely ketika ini, dia mengendalikan tiga restoran iaitu dua buah restoran Mamanda termasuk satu di Singapura dan SukaSucre.

“Mamanda asalnya dari Singapura dan sudah tiga kali bertukar pengurusan. Saya beli sahamnya dan buka cawangan di Kuala Lumpur.

“Saya berminat dengan Mamanda kerana restoran ini menyediakan makanan Melayu.

“Ini kerana agak sukar memperoleh restoran yang menyediakan makanan Melayu. Kalau ke mana-mana saya pergi, yang banyak adalah restoran makanan Indonesia dan Thailand banyak termasuklah makanan Korea dan Jepun,” katanya yang juga sering diundang untuk mengadakan demonstrasi masakan di dalam dan luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN