MARANG 17 Nov. -Kerajaan Pas tidak bercadang untuk menukar status mana sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) di bawah kelolaan parti menjadi sebagai sekolah kebangsaan namun akan berusaha memastikan ia berkembang seiring dengan institusi pendidikan yang lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ketetapan itu dibuat memandangkan perkembangan situasi politik semasa di negara ini yang amat sukar untuk diramalkan.
“Biarlah sekolah-sekolah agama rakyat milik parti kekal seperti sekarang, terus menjadi hak milik kita sampai bila-bila dan terus digerakkan mengikut acuan silibus yang telah kita tetapkan,” jelasnya.
“Jika kita menukar status dengan menjadikannya sebagi sekolah kebangsaan, mungkin suatu hari nanti, hak milik kita kita itu akan hilang apabila parti lain pula yang mengambil alih pucuk pemerintahan negeri,” ujarnya.
Sebagai contoh kata Mohd Nor, perkara ini pernah berlaku kepada sekolah pondok Tok Jiring yang asalnya dilimiliki oleh tokoh agama, Ustaz Haji Abas yang kini bertukar hak miliknya setelah menjadi sekolah kebangsaan.
Mohd Nor ketika menjawab soalan salah seorang peserta dalam program Dialog Isu Semasa peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini hari ini.
Program anjuran Biro Penerangan Pas Kawasan Marang itu disertai oleh kalangan pemimpin Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Rhu Rendang.
Dalam program berkenaan Mohd Nor turut meminta semua pemimpin MPKK mengamalkan budaya kerja berhemah dan celik ilmu politik dalam membantu usaha kerajaan negeri dapat menyalurkan maklumat sebenar kepada rakyat.
“MPKK mestilah berperanan sebagai agen kepada pentadbiran kerajaan negeri dengan tolong menyebarkan maklumat tepat kepada rakyat tentangkan setiap usaha murni yang telah dilakukan, bukan menokok tambah dan mengsensasikan perkara tidak pasti di dalam media sosial.
“Sebagai pemimpin yang diberi peranan penting di peringkat kampung, MPKK mestilah sentiasa bekerjasama dengan berganding bahu dengan pemimpin kerajaan negeri,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










