Kerajaan negeri Terengganu bentang Bajet 2019 RM2.015 bilion - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri Terengganu bentang Bajet 2019 RM2.015 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu membentangkan Bajet 2019 berjumlah RM2.015 bilion iaitu peruntukan yang lebih besar berbanding RM1.996 bilion dalam bajet tahun lalu.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada tahun hadapan, kerajaan negeri menjangkakan akan memperoleh hasil berjumlah RM2.015 bilion menjadikan Bajet 2019 berimbang.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM66.93 juta merupakan hasil cukai, RM203.53 juta (hasil bukan cukai) dan RM1.745 bilion (terimaan bukan cukai).

“Bajet bertema ‘Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera’ itu mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM2.015 bilion, pembangunan (RM600 juta) dan Wang Kumpulan Bekalan Air (RM1.8 juta).

“Dibawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM86.025 juta atau 4.27 peratus akan diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan manakala sejumlah RM1.929 bilion (95.73 peratus) pula diperuntukkan untuk perbelanjaan bekalan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, pelaksanaan bajet berimbang tersebut akan dilakukan secara efisyen, cekap dan juga cermat supaya tidak timbul tambahan peruntukan baharu.

Tambah beliau, rakyat negeri Terengganu juga akan diberi penerangan khusus tentang cara dan kaedah penyampaian perkhidmatan supaya kesemua mereka dapat merasai kesan daripada pembentangan bajet tersebut.

“Kita tidak mengatakan kita mampu untuk selesaikan semua masalah rakyat dalam waktu yang singkat tetapi apa yang penting adalah komitmen kerana kerajaan negeri akan strategikan penyelesaian sebagaimana yang dibentangkan dalam bajet tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×